Gobek Tembaga: MASA KECIK2 SIRI SEPULUH:
MALAYA MERDEKA
Aku ingat tak ingat momen-momen yang menarik apabila negara tercinta Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya akan diberikan kemerdekaan oleh penjajah British. Yang aku ingat jalan kampung yang menghubungkan kampung ku dengan Kota Bharu mulai sibuk dengan orang-orang kampung yang menunggu lori yang ada hidung datang mencurahkan pasir sungai untuk 'improve' kondisi jalan supaya tidak lecah bila hujan. Aku dan kawan-kawan sekampung memang seronok sakan, seronok dapat tengok lori masuk kampung, seronok dengan bunyi injin lori, seronok tengok asap keluar ikut belakang dia . Kalau tak silap, itulah lori pertama yang aku lihat seumur hidup, memang teruja sakan. Kalau sebelum ini lihat sekali sekala kereta melintas kampung. Itu pun sebiji sebulan. Rasanya aku masih ingat itu kereta milik Mat Min Bedil yang rumahnya di seberang sungai Pauh, dekat-dekat rumah Tok Guru Menteri Besar sekarang. Dipanggil Mat Min Bedil sebab dia ada senapang patah untuk bedil tupai terutama di musim durian.
Yang buatkan orang kampung seronok sangat ialah bila pasir dicurahkan ke atas jalan, dalam pasir tersebut terdapat banyak 'etak' yang masih fresh . Apalagi berebut-rebut kita orang menguis-nguis pasir cari etak. Dapatlah seorang secetung. Bolehlah direbus atau salai.Macam tak ada makanan lain. Aku rasa pasir yang dicurah untuk elokkan jalan itu memang diangkut terus dari sungai Kelantan di Kota Bharu. Sebab itulah banyak etak dan masih fresh lagi. Rezeki orang kampung yang rata-rata suka dapat etak free. Padahal kalau beli pun bukan mahal sangat, waktu itu segantang etak mentah baru 50 sen.Teramat murah.
Berbalik cerita sambut kemerdekaan , budak-budak sebaya aku pada waktu itu tidak faham pun apa itu m e r d e k a . Yang kita faham adalah bermain dan seronok-seronok. Tapi kita orang diajar juga supaya sebut' merdeka' terutama kepada sebarang kenderaan atau siapa-siapa saja yang lalu melintas melalui jalan kampung kami yang baru dipasirkan ( bukan ditarkan). Pada waktu itu apa yang dimaksudkan dengan kenderaan adalah basikal atau beca roda tiga yang disebut 'teksi'. Bila ada saja basikal atau teksi yang lalu, kita orang pun sebut: ''Merdeka Tanah Melayu, Tepung Boko(bingka?) Ubi Kayu'' sambil tergelak-gelak. Tapi kalau yang melintas itu kereta, macam kereta Mat Min Bedil, bukan main seronok lagi. Laungan Merdeka Tanah Melayu .... macam nak pecah kampung. Sebetulnya macam nak pecah kerongkong.
Aku masih ingat lagi, dalam rangka rakyat Malaya sambut merdeka, khususnya di Kelantan, pada suatu hari aruah ayah hantar aku ke tempat kakak yang aku panggil Kak Nik yang menyewa sebuah pondok bersama rakan-rakan Sekolah Naim Lil Banat di Jalan Kelochor, Kota Bharu. Bukan main seronok lagi aku dapat tinggal dengan Kak Nik dua tiga hari untuk lihat perayaan sambut kemerdekaan di pekan, bukan di kampung. Antara acara sambutan kemerdekaan yang aku masih ingat adalah perarakan kereta berhias pada waktu malam. Memang excited, maklumlah budak kampung yang tengok kereta sebulan sekali tiba-tiba dapat tengok banyak kereta yang dihias cantik dengan lampu lip lap berwarna warni. Tapi bayangkanlah model-model kereta pada masa itu, semuanya mestilah British Made. Aku tak tau apa jenis sebab belum tahu membaca lagi. Tapi yang jelas bentuk keretanya macam bentuk teksi hitam yang banyak berkeliaran di Kota London sekarang. Apa Morris, Hillman, Ford, Austin ? Entahlah.
Ramai kawan-kawan sepondok Kak Nik , semuanya perempuan, yang suka usik aku yang waktu itu budak baru berumur 5 tahun. Ada seorang kawan Kak Nik yang selalu usik dan dokong aku, nama dia Ana sebab bila dia bercakap dia bahasakan diri dia Ana. Kemudian baru aku tahu nama dia bukan Ana, tetapi Jawahir. Ana tu 'saya' dalam bahasa Arab, maklumlah mereka semua pelajar sekolah Arab Naim lil Banat.
Kak Nik ada belikan aku belon' naik' yang ada dijual oleh penjual India. Bukan main sukanya aku, hairan pun ada, macammana belon ini boleh naik ke atas. Belon yang pernah aku beli di kedai Mok Su Yoh di kampung aku tak naik pun. Keesokan harinya belon yang boleh naik tu dah tak boleh naik dan ukurannya pun makin kecil. Aku menangis sakan, kecewa kerana belon kesayangan aku itu dah tak boleh naik ke atas. Aku masih ingat lagi, aku mengamuk, menangis dan marah-marah kepada Kak Nik dan Ana. Kalau tak silap aku, Kak Nik dah tak tahan nak jaga aku lagi, lantas dia cari beca roda tiga dan hantar aku pulang ke kampung. Agaknya ngamuk dan marah-marah aku waktu berumur 5 tahun itu sebiji macam ngamuk dan marahnya cucu aku yang di Kuantan itu, Wan Muhammad Aiman Wan Azdi bila ada yang tak kena dengan kehendaknya.
...
Dan sekarang kampung tu dah bersambung dgn bandar kota bharu, kan.
ReplyDeletehehehe..walaupun wan muhammad aiman bin wan azdie mengamuk marah2, tapi tetap maintain ensemmmm....
ReplyDelete