Bila dah sambung balik menulis blog ni, rasa seronok pula. Tapi anak sulung aku yang di Kuantan tu asyik perli saja: katanya abah hangat-hangat tahi ayam, dulu janji nak tulis satu siri setiap- minggu. Rupa-rupanya bila berhenti menulis, setahun kemudian baru teringin nak sambung. Hampeh.
Kali ini aku nak ceritakan pasal musim buah-buahan yang kita orang sebut 'perian buah kayu'. Almarhum ayah ada sekeping tanah, agaknya kira-kira satu ekar, yang terletak di kampung sebelah yang dipanggil Kampung Langgar. Jaraknya kira-kira setengah jam berjalan kaki dari rumah kita orang. Untuk ke sana, kita orang berjalan kaki melalui tepi-tepi rumah orang kampung yang kedudukannya sebuah-sebuah, jalan setapak yang penuh dengan semak samun dan kadang-kadang melalui tepi-tepi sawah.
Di tanah tersebut aruah ayah ada menanam beberapa pohon rambutan, langsat dan sebatang pohon rambai . Rambutan yang aruah ayah tanam adalah dari jenis kawin yang buahnya longkah dan manis. Namanya rambutan Che Mbong. Ada juga rambutan yang namanya rambutan Perak yang tidak semanis Che Mbong. Langsat pula aku tak tahu apa jenisnya, tapi yang aku ingat buahnya agak besar juga dan rasanya manis. Almarhum ayah tidak tanam duku. katanya buah duku jenis kampung banyak yang pahit dan buahnya kecik-kecik. Aruah ayah juga tidak tanam rambutan rakyat iaitu rambutan yang berasal dari biji yang biasanya masam dan tidak longkah. Jadi kesemua rambutan yang aruah ayah tanam adalah dari jenis yang dikawinkan bagi mempastikan buahnya manis dan longkah.
Oleh kerana pokok-pokok buah-buahan tersebut tidak begitu tinggi , aku mampu memanjatnya sambil memetik mana-mana buah yang dapat dicapai oleh tangan . Biasanya aruah ayah menggunakan galah buluh untuk mengait- buah-buah rambutan yang sudah masak. Kalau langsat, biasanya diambil dengan memanjat tanpa menggunakan galah.
Rambutan yang sudah dikait, direlaikan dari tangkainya. Aruah emak akan membilangnya terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam bakul buluh. Aruah emak menggunakan caranya yang tersendiri waktu membilang buah-buah rambutan. Mula-mula aruah emak bilang '' lima, sepuluh, lima belas dua puluh, tengah tiga tiga puluh, tengah empat empat puluh, tengah lima lima puluh dan begitulah seterusnya hingga penuh bakul. Penuh bakul diisikan pula kedalam guni gandum.
Untuk dibawa pulang ke rumah, aruah emak junjung bakul yang penuh degan rambutan dan aruah ayah pikul rambutan yang ada dalam guni gandum. Aku? Aku melenggang saja sambil makan mana-mana buah yang tak dapat masuk ke dalam bakul maupun guni gandum.
Biasanya buah-buah tersebut dijual kepada peraih kampung atau kadang-kadang kakak ynag sulung bawa terus ke Bandar Kota Bharu untuk dijual. Waktu itu harga sebakul rambutan hanya dua tiga rial sahaja. Kadang-kadang kesian kepada kedua-dua orang tua aku. Penat-penat kait dan pikul atau junjung, dapatnya tak seberapa, hanya empat lima rial saja.Namun apapun kita orang bersyukur dengan rezeki yang Allah swt berikan. Hasil dari titik peluh sendiri dan halal.
Aku masih ingat bila rambutan sedang menguning, aruah ayah meminta pertolongan orang kampung Langgar, namanya Pok Hing, untuk memasang lampu minyak tanah yang tahan angin di dahan-dahan rambutan bagi menghalau keluang yang datang untuk memakan buah-buah yang sedang nak masak. Agaknya keluang takut bila ada cahaya dari lampu minyak tanah yang dipasang Pok Hing. Setakat mana berkesannya, taklah aku ingat sangat. Yang pasti , masih ada kulit-kulit rambutan yang berserakan sebagai tanda masih ada keluang yang berani datang makan walaupun ada cahaya lampu.
Pada masa ini tanah yang ada buah-buahan ini dipusakai oleh kakak kedua yang aku panggil kak Nik.
Aruah ayah juga ada menanam beberapa batang durian di sekitar rumah aruah nenek yang terletak kira-kita satu batu dari rumah kita orang. Durian nya elok-elok semua. Ada yang aruah ayah namakan Durian Mata Dua, Durian Isi Molek dan Durian Man. Seingat aku buah-buah durian tersebut adalah untuk dimakan keluarga sendiri sebahagian kecil saja yang dijual kerana harganya sangat murah. Boleh dikatakan semua orang ada pokok durian. Jadi banyak dari buah-buah durian tersebut disedekahkan kepada sanak saudara dan kaum kerabat. Kadang-kadang bila berlebihan aruah nenek buat lempuk yang boleh disimpan lama. Waktu itu harga sebiji durian hanya 30 sen saja sebiji.
Sayang, semua pohon-pohon durian yang aku ceritakan di atas sudah tiada, kerana kira-kita empat puluh lima tahun dahulu telah ditebang semuanya untuk tapak rumah kita orang apabila keluarga kita orang berpindah ke situ selepas kematian nenek.
saya mau makan luliannnnnnnn.....
ReplyDeleteterbaik.rasa mace jame ritu akan ceito
ReplyDeletetkasih