PAK NIK CHE SOH
Dalam siri keduabelas ini aku nak ceritakan sedikit pasal kisah hidup jiran aku, setakat yang aku masih ingat, yang rumahnya kira-kira 150 meter di belakang rumah kita orang. Memang stail rumah kampung zaman dulu, jaraknya jauh-jauh dan binaannya sebuah-sebuah, bukan macam rumah orang sekarang: dekat-dekat. Apalagi rumah teres yang melekat antara satu sama lain, kalau jiran sebelah kentut pun boleh dengar. Asal tak terbau tak kisahlah.
Kisah jiran aku yang satu ini banyak kisah-kisah yang negatif. Namun bukan tujuan aku untuk menceritakan keburukan dia, tapi lebih kepada bertujuan untuk memberikan iktibar untuk anak-anak aku yang membaca kisah ini supaya tingkah laku seperti dalam kisah ini tidak menjadi amalan mereka.
Aku panggil jiran aku ini Pak Nik Che Soh. Mungkin nama dia Nik Soh atau Nik Jusoh atau Jusoh sahaja. Isterinya aku panggil Mak Nik. Asal usul Pak Nik Che Soh banyak yang orang kampung aku tidak tau, tapi Mak Nik memang orang asal kampung aku. Apa istimewanya Pak Nik Che Soh ini sampai aku jadikan isi kandungan salah satu siri dalam blog aku ini?
Ha, Pak Nik Che Soh ini orangnya sangat kaya, kaya dengan pemilikan tanah yang berekar-ekar, baik tanah padi, tanah kebun dan sebagainya. Sehingga dikabarkan dia juga punya tanah sawah di Padang Mokrat, dalam jajahan Tumpat, nun jauh berbatu-batu dari kampung aku, hampir-hampir dengan sempadan Siam. Di kampung aku saja, dia punya kebun getah berhampiran rumahnya dan sawah padi yang berkeping-keping. Salah satu tanah kebunnya yang berekar-ekar betul-betul terletak di tepi jalan besar . Road frontage katakan. Sewaktu aku berkesempatan pulang ke kampung pertengahan Mac 2012 lalu, aku sempat melalui tanah yang yang di tepi jalan ini, sudah jadi kawasan komersial yang sangat strategik kerana tidak jauh dari Pejabat JPJ Kelantan dan Pejabat Belia Kelantan.
Walaupun Pak Nik Che Soh punya banyak sawah padi, dia tidak menanam sendiri padi. Dia sewakan tanah padinya kepada orang lain. Aku masih ingat sepanjang tahun baloh padinya ( padi silo) sentiasa penuh dengan padi. Begitu juga dengan kebun getah, dia pajakkan kepada orang lain untuk menorehnya. Dia tinggal ambil wang sewaan atau pajakan saja.
Tetapi sayang , walaupun sangat kaya Pak Nik Che Soh sangat berkira dengan hartanya, bahkan boleh dikatakan dia sangat kelorek atau kedekut. Dia juga tidak suka berbelanja dengan wangnya yang banyak itu, kalau berbelanja pun hanya yang sangat-sangat perlu saja. Jadi dia simpan saja wang dia itu. Walaupun buta huruf, Pak Nik Che Soh simpan duit dia di bank di bandar Kota Bharu, bank apa aku tak tau, masa itu bank yang aku ingat adalah bank Mercantile( bank ini orang Kelantan panggil Bank Kerapu), bank Chung Kiaw dan Chartered Bank.
Pak Nik Che Soh jarang pakai baju, dia hanya pakai kain sarung yang dibuat dari kain tepung gandum yang harganya sangat murah: 50 sen satu. Dia hanya pakai baju dan kain pelikat murah kalau ke bandar Kota Bharu. Kasut jauh sekali, dia rela berkaki ayam kerana tak payah keluar duit untuk beli kasut.
Satu hari aku naik tergelak bila Pak Nik Che Soh nak beli ikan hanya sebanyak 5 sen saja dari penjual ikan berbasikal yang aku panggil Pak Man . Memang waktu itu ikan sangat murah. Ikan dijual pakai bilang berapa ekor, tak pakai timbang. Biasanya kalau 10 sen kadang-kadang boleh dapat sepuluh ekor ikan tamban atau ikan selayang,. Ikan kembung 20 sen untuk 10 ekor. Murah kan? Kalau ikan 10 sen 10 ekor kita orang kata harganya 'nunggal' iaitu 1 sen 1 ekor. Jadi bila Pak Nik Che Soh nak beli ikan cuma 5 sen, Pak man kata: "Amik sajalah Pak Nik, 5 sen pun nak beli." Tersengih-sengih Pak Nik Che Soh dapat ikan free 3 ekor dan selamat duit 5 sen dia. Macammana tak kaya?
Ini pula kisah Mak Nik yang tak kurang colorfulnya dari segi berkira pasal duit dan sayang dengan duit. Mak Nik kadang-kadang dia jadi peraih, jual sayur-sayur orang kampung di bandar kota Bharu. Walaupun Pak Nik Che Soh dah banyak duit, Mak Nik tetap juga berperaih biar pun dah agak berumur dan tak cekak. Satu ketika aku belajar-belajar tanam lada hijau muda yang orang Kelantan guna untuk buat solok lada. Aruah ayah yang ajar aku tanam satu batas saja bersebelahan dengan batas-batas ubi badak dan ubi itik aruah ayah. Aruah ayah tanam juga daun ranting suri ( daun sop) dalam tempurung kelapa yang disii dengan tahi kambing terlebih dulu. Ingat tak dalam siri terdahulu pernah aku ceritakan yang aruah ayah mengusahakan juga kelapa kering, jadi banyak terkumpul tempurung-tempurung kelapa. Tahi kambing pula dihasilkan oleh kambing-kambing dan biri-biri yang aruah ayah pelihara di bawah baloh padi. Rupa-rupanya berguna pula untuk tanam daun ranting suri. Kadang-kadang aruah ayah suruh Mak Nik jual hasil-hasil tanaman di bandar Kota Bharu dengan komisyen 20%.
Berbalik pasal tanaman lada aku itu, satu ketika bila dah dipetik hasilnya, aruah ayah minta Mak Nik jual seperti biasa di market Kota Bharu. Aku seronoklah, lepas ini dapatlah hasil jualan tolak komisyen sekurang-kurangnya dapatlah satu dua rial. Tapi bila Mak Nik balik dari berperaih, dia serah duit kepada ayah cuma 20 sen saja untuk sebesen lada aku. Tak patut betul Mak Nik, takkanlah sebesen lada aku cuma dapat 20 sen. Kesiannya aku.
Satu hari aku tanya aruah mak, "Mak, betul ke Pak Nik Che Soh tu makan bewok (biawak) pasir?"
Mak marah," Hish, sapa kata, sapa pulak makan bewok pasir. Tu kan binatang haram dimakan. Orang tak makan bewok. Tak baik cakap macam tu." Mak tak kata yes or no sama ada Pak Nik Che Soh betul-betul makan atau tidak bewok pasir. Rupa-rupanya baru aku tahu yang aku silap dengar, bukan bewok pasir tapi ' perak berhasil'. Tapi aku tak faham apa pula perak berhasil? Rupanya kemudian baru aku tahu perak berhasil tu istilah orang kampung aku untuk ' riba' atau duit bunga. Patutlah Pak Nik Che Soh banyak duit; rupanya duit dia beranak. Tapi aku tak tahu siapa-siapa saja pelanggannya.
Heran juga aku, Pak Nik Che Soh ni kadang-kadang ada juga mengajar membaca al Quran kepada beberapa orang budak-budak khasnya anak buah Mak Nik. Tapi majoriti budak-budak kampung datang ke rumah aku untuk mengaji Al Quran dengan aruah ayah dan aruah emak. Aku juga perasan yang Pak Nik Che Soh tak pernah ke mesjid untuk sembahayang Jumaat. Agaknya dia tak larat nak berjalan, mesjid jauh, tapi kalau ke Kota Bharu dia sanggup berjalan kaki.
Pak Nik Che Soh memang berkira dan kedekut. Hinggakan buah setar yang masam pun dia tak kasi kita orang budak-budak kampung ambil. Bukan ada harga pun buah setar tu. Buahnya yang masak menguning pun masam mencuka. Waktu tu satu besen besar buah setar harganya cuma 20 sen, tapi Pak Nik Che Soh tetap tak kasi kita orang ambil, biar buruk di pokok katanya. Satu perkara lagi, aku heran di tanah Pak Nik Che Soh banyak tumbuh pokok-pokok buah yang tak ada di tanah orang lain. Umpamanya buah gucil, buah kekut, buah saga dan terajan, semuanya ni tumbuh di tanah dia. Bila aku dan kawan-kawan teringin nak makan, kita orang ambil secara curi-curi. Buah-buah jenis ni bukannya ada harga sangat, jual pun tak laku, tapi kita budak-budak memang suka memakannya. Sekarang ni dah tak jumpa dah buah-buah ini, dah pupus agaknya.
Pak Nik Che Soh dan Mak Nik walaupun kaya tapi mereka tidak punya keturunan. Mandul. Mereka ada bela anak angkat , namanya Che Wil, katanya anak saudara Pak Nik . Che Wil ni aku masih ingat dia mengidap sakit mental, tapi sempat juga bernikah dengan janda sekampung , namanya Bidoh Leho. Mungkin Bidah Leho ingat Che Wil akan mewarisi harta-harta Pak Nik Che Soh yang bertimbun tu. Tapi perkahwinan mereka tak kekal. Bidoh Leho kempunan tak sempat nak jadi kaya.
Mak Nik meninggal lebih dahulu dari Pak Nik. Aku masih ingat aruah ayah dijemput untuk bacaan tahlil aruah Mak Nik. Pada malam ke empat puluh, aruah ayah juga dijemput tahlil. Aruah ayah bawa pulang pulut tahlil dengan inti kelapa yang sangat manis disertai dengan putu warna merah jambu. , amalan biasa orang kampung aku waktu itu bila tahlil malam ke empat puluh. Pinggan yang digunakan untuk mengisi pulut tu biasanya pinggan baru dan diberikan terus kepada yang hadir tahlil. Tapi yang aku ingat pinggan yang aruah ayah bawa balik tu pinggan dah retak seribu, ertinya sudah lama dipakai, bukan baru. Agaknya Pak Nik Che Soh rasa rugi yang amat sangat kalau beri pinggan baru.
Seperti aku ceritakan di atas, Pak Nik Che Soh ni buta huruf. Tapi lepas Malaya Merdeka dialah orang pertama yang mohon bantuan tanam semula getah dari Kerajaan. Jadi kebun getah tua dia yang betul-betul di sebelah kiri rumah aku dia upah orang tebanglah. Kami budak-budak seronok dapat main' berhinggut' di atas batang-batang getah yang dah ditebang. Bila malam Pak Nik pasang lampu pam untuk memudahkan orang-orang dia gergaji batang-batang getah untuk dibuat kayu pasung. Duit lagi, sebab kayu pasung laku dijual untuk kayu api. Lama jugalah proses menebang pokok-pokok getah tua Pak Nik sehingga sempat juga budak-budak kampung berkumpul bila malam (sebab terang dek lampu pam Pak Nik) dan berdikir barat. Ketua dikir namanya Mamat Butir, memang sedap dia berdikir. Ada lagu dikir yang aku masih ingat senikatanya: jeruk maman kangkunglah berduri........ . Sambungannya westulali aku.
Di sempadan tanah kebun getah Pak Nik dengan tanah kita orang ada sebatang pohon jambu gagak. Sebesar perut aku waktu itu. Jambu gagak ni aruah emak kata masuk dalam tanah Pak Nik. Jadi aku tengok sajalah, nak ambil buahnya tak boleh, nanti kena kejar dek Pak Nik Che Soh. Jambu gagak pohonnya istimewa berbanding pohon-pohon lain sebab pucuknya boleh dimakan, rasanya masam-masam, begitu juga bunganya, kita orang suka makan walaupun masam macam pucuknya. Bila bunganya gugur di atas tanah, bumi jadi cantik dihampari dengan bunga-bunga yang berwarna merah keunguan.( sebenarnya yang gugur bukan bunganya tapi filamen bunga yang berbentuk seperti jarum bila bunga sudah difertilisekan-ini maklumat bila aku dah belajar botani lima belas tahun kemudian). Tak tau kemudiannya bila pejabat Tanah Kota Bharu buat pengukuran akhir, nyatanya pohon jambu gagak tersebut masuk dalam tanah kita orang. Jadi selama ini aku curi-curi ambil buah jambu milik rupanya sendiri. Pak Nik Pak Nik, boleh dia mengaku jambu tu dia punya.
Kebun getah Pak Nik Che Soh siap ditanam semula. Pagawai Tanam Semula dari Kota Bharu datang serah sekeping papan tanda aluminium untuk Pak Nik pacakkan di kebun getahnya sebagai tanad kebun di bawah program tanam semula. Bagaimana Pak Nik pacakkan? Dia pacak terbalik, waktu tu aku tak tau terbalik sebab belum pandai membaca lagi, tapi pegawai tanam semula yang datang buat susulan kemudiannya tolong betulkan posisinya. Itulah Pak Nik yang buta huruf tapi ligat cari duit.
Aku tak tau bila Pak Nik meninggal dunia .Mulai tahun 1963 aku tidak lagi tinggal di kampung kerana ikut Kak Nik tinggal di rumah sewanya di Kota Bharu. Tapi yang aku dengar kabar beberapa tahun kemudian, semua harta Pak Nik Che Soh difaraidkan dan jatuh kepada anak-anak saudara dia yang kita orang pun tidak kenal. Kabarnya telah dijual semua oleh penerima faraid termasuk tanah di tepi jalan yang sangat berharga itu seperti aku kisahkan di atas.
Kisah ini bukan untuk memburukkan orang yang dah mati, tapi sebagai pengajaran kepada aku dan anak-anak aku supaya berhati-hati: jangan jadikan harta menguasai kita, kitalah yang menguasai harta. Jangan sampai harta menindih kita dalam kubur nanti. Semoga Allah mengampuni aku dan semua mereka yang aku sebutkan nama dalam kisah ini.
panjangnyaaaaaaa citer poknik nihhh
ReplyDelete