Tuesday, 10 April 2012

MASA KECIK2 SIRI KETIGABELAS

HARI RAYA TEMPO DULU

Hari raya dah nak datang lagi. Budak-budak kampung  yang sebaya dengan aku buka main seronok lagi. Seingat aku , kita orang budak-budak memang tak reti nak puasa. Tapi kita oranglah yang lebih-lebih bila nak raya. Di rumah kita orang tak ada jam , jam tangan pun aruah ayah tak pernah punya. Jadi penentuan waktu-waktu untuk sembahyang, aruah ayah berpandukan pergerakan matahari saja. Untuk penentuan berbuka puasa, kita orang tunggu bunyi geduk (beduk) dari surau aruah Datuk atau tunggu bunyi meriam dari Kota Bharu. Memang meriam untuk tanda berbuka dan imsak yang dicucuh  di Kota Bharu,  walau jaraknya 3 batu, boleh kedengaran di kampung kita orang. Agaknya Kerajaan memang tahu orang kampung tak ada jam. 
Pergi ke surau aruah datuk untuk tengok orang teraweh seronok juga. Kita orang memang tak teraweh. Tapi bila habis teraweh, kita oranglah yang dulu berebut cendol. Cendol kampung hanya dimakan dengan air gula saja, itu pun dah cukup baik untuk sejukkan tekak lepas teraweh, berselawat dan bertahlil. Aruah ayah berteraweh di suraunya di kampung nenek. Jadi bila lepas berbuka, aruah ayah berbasikal ke sana dan balik tengah malam.
Dua tiag hari dekat nak raya, budak-budak sebaya aku sibuk buat 'bedil' dari lidi basikal. Kita orang lentukkan lidi basikal , seolah-olah jadi macam pistol dua dimensi. Kepala lidi basikal dijadikan tempat isi 'peluru' iaitu serbuk belerang dari kepala batang mancis. Lepas tu sumbat dengan paku kecil dan ketukkan ke atas sebarang benda keras, umpamanya tiang batu, " Peh" . Itulah bunyinya. Ayam pun tak takut.Tapi memang enjoy. Kalau beli di kedai satu bedil ni berhaga 10 sen saja.
Bedil kertas atau mercun memang susah nak dapat, kalau adapun mahal sangat. Masih aku teringat Pak Chik Mud, suami kepada adik bungsu aruah emak, Mak Chik Rokiah, bawa pulang bedil kertas dari Siam. Diberinya sebatang kepada aku, warna merah sebesar jari kelingking. Bukan main sukanya aku, aku simpan dalam almari kitab aruah ayah, nak tunggu cucuh/pasang bila raya nanti. Biar kawan-kawan kagum.  Alih-alih bila raya tiba 5 hari kemudian bedil kertas aku tu tak meletup. Sumbunya saja yang menyala. Sangatlah frust aku. Rupa-rupanya bedil kertas tu dah masuk angin. Budak-budak yang lebih besar biasanya mereka main meriam buluh pakai minyak tanah, atau pakai karbid   Kita orang tak berani main meriam buluh, bahaya jika buluhnya pecah.
{Mak Chik Rokiah meninggal muda iaitu dalam tahun 1963 waktu melahirkan anak kedua. Anaknya juga meninggal beberapa hari kemudian. Anak pertamanya meninggal waktu umur 4 tahun.  Beliau tidak meninggalkan  sebarang keturunan . Semoga Allah swt mencucuri rahmatNya ke atas mereka semua}
Baju raya aku baju Melayu , aku panggil baju gumbang, aruah ayah yang jahit. Kain samping bukan songket, tapi kain yang sama juga dengan baju Melayu tu. Murah.  Kepala kena cukur semua, sebab aruah datuk, Tok Guru Haji Wan Ismail tak suka cucu-cucunya berbojeng.( bergunting rambut). Tapi arahan membotakkan kepala bila  hari raya  tiba tak bertahan lama kerana anak cucu protes kemudiannya. Bila dah boleh berbojeng untuk sambut raya, biasanya aku pergi ke rumah Pak Da Ok ( nama dia Daud Wak Lat) untuk gunting rambut. Pak Da Ok selalu usik aku, dia kata kepala aku 'butut'. Aku tak marah malah suka. Upah gunting cuma 30 sen untuk 2 orang iaitu aku dengan abang nomor dua. Budak-budak lain pergi bergunting dengan tukang gunting Nor Kicap. Dipanggil  Nor Kicap sebab dia renjiskan air ke kepala menggunakan botol oren yang ditebuk penutupnya untuk air keluar, persis macam kita tuangkan kicap ke dalam nasi.
Duit raya? Orang kampung tak adalah sangat yang nak beri duit raya,. Kalau adapun seorang dua yang mampu beri, itu pun 10 sen seorang. Jadi kena minta dengan aruah emaklah, biasanya dapatlah 50 sen untuk belanja raya. Boleh beli coklat(gula-gula) yang 3 biji untuk 5 sen. Boleh juga buat beli mancis untuk peluru bedil lidi basikal aku.
Ada sekali tu aku dengan kawan-kawan beli rokok sigeret cap Signal. Dua batang  harganya 5 sen. Bila hisap  terbatuk-batuk, mata merah dan berair. Pernah sekali  terserempak dengan Wak Teh ( aruah, suami aruah kakak sulung emak), dia lapor kepada aruah ayah. Apalagi  kena marahlah, sumpah dah tak mau merokok sigeret lagi bila sambut raya.
Ada seorang orang kampung, namanya Mok Ti, janda,  dah berumur , bila raya dia suka jamu budak-budak makan mee rebus. Kita orang suka sangatlah. Mee rebus tak ada  dijual kat kampung aku , kalau nak makan, kena pergi ke Kota Bharu.  Jadi bila dapat mee rebus bikinan Mok Ti , huuuh suka betul, sekali setahun pun tak apa.  Dapat pula duit raya 10 sen seorang. Mok Ti ( dah lama aruah) kerjanya berniaga buah di Kota Bharu.
Orang kampung aku, untuk sambut raya cuma buat ketupat pulut delta yang manis yang dibungkus dengan daun palas. Ada juga buat tapai beras  , dibungkus dalam daun pisang atau daun getah. Kita orang tak ada yang buat lemang . Tak pernah. Biskut raya pun tak pernah buat. Bukan budaya orang kampung. Aruah emak biasanya buat ketupat palas saja sehari sebelum hari raya. Sebelum jadi ketupat aku dah makan dulu bila pulut siap diarung yang rasanya lemak dan manis.
Malam raya malam gembira. Aku dengan kawan-kawan bila malam raya  biasanya ramai-ramai tidur di surau aruah Datuk. Pakai selimut dari ambar yang berdebu dan berdaki, tak pernah basuh bertahun-tahun. Walau  berdebu dan busuk, kita orang selamba saja buat selimut. Satu ambar boleh masuk 5,  6 orang budak. Ambar ini semacam karpet yang tidak begitu tebal yang digunakan sebagai alas sembahyang. Aku cuma sempat sekali dua sahaja tidur di surau pada malam raya kerana aruah ayah tidak begitu mengizinkan.
Pernah pada satu malam raya lepas sembahyang isya' , Pak Ri, iaitu adik lelaki aruah emak berlainan ibu, tunjuk kepada budak-budak macam mana nak tengok anak bulan Syawwal. Dia masukkan air  telaga ke dalam baldi dan suruh budak-budak tengok ke dalam baldi  tersebut untuk melihat refleksi cahaya kelibat anak bulan. Tak ada yang nampak pun . Gelap saja.  Walaupun tak namapk, kita orang beraya juga besoknya. Bukan begitu cara untuk menentukan nampak atau tidak anak bulan. Aku tergelak sakan bila mengenangkan kisah dipermainkan oleh Pak Ri ini.
Kita orang hanya sambut raya puasa sehari sahaja. Raya kedua dah tak diraikan lagi. Kebanyakan orang dewasa dah mula berpuasa enam pada raya kedua, begitu juga dengan kedua-deua orang tua aku. Jadi yang seronok tu adalah pada beberapa hari sebelum hari raya.

No comments:

Post a Comment