Tuesday, 20 November 2012

MASA KECIK2 SIRI KEEMPAT BELAS

KISAH ABANG SULUNG  MASUK ' JAWI '

Telah banyak peristiwa yang aku kisahkan dalam siri2 terdahulu. Itu pun bergantung kepada daya ingatan aku kerana kisah2 tersebut sebahagiannya telah banyak yang aku lupa. Namun kisah2 yang memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan aku memang susah untuk dilupakan. 
Kali ini  aku nak kisahkan abang sulung aku ' masuk jawi '. Tahunnya aku tak ingat, yang aku ingat secara balam2 tok mudimnya aku panggil ' Tok Yeh', kira masih ada hubungan saudara dengan aruah ayah. Mungkin nama penuh dia Idris. Aku masih ingat Tok Yeh mempunyai misai melentok macam misai pelakon A Galak, tapi misai Tok Yeh berwarna putih dek uban 100%. Tok Yeh tak pernah senyum. Kalau bertemu dengan kanak2 dia menggerak-gerakkan misainya ke atas ke bawah. Apa lagi kanak2 akan menjerit/menangis dan terus lari terutama  bila tahu Tok Yeh tukang kerat anu budak. Aku tak terkecuali, asal jumpa Tok Yeh  dia gerak-gerakkan misai dan ditambah pula dengan  kedua-dua tangannya macam orang sedang memotong sesuatu. Masa tu aku tidaklah takut sangat kerana masih kecil, jauh lagi nak' masuk jawi'.
Tok Yeh datang ke rumah pada suatu pagi untuk potong' anu' abang sulung aku . Yang aku ingat abang sulung aku didudukkan di atas belahan batang pisang, bertelanjang bulat . Aruah ayah memegang belakang abang, takut dia lari kot. Tapi sebenarnya aruah ayah pegang belakang abang supaya abang kuat semangat dan tidak rasa takut. Aku berdiri di tepi pintu bilik sambil memerhati apa yang dilakukan oleh Tok Yeh dari jauh. Aku tak nampak apa sebenarnya yang dibuat oleh Tok Yeh selepas itu. Yang aku tahu kemudiannya abang mengeluh kesakitan dan mukanya pucat. Rupa2nya anunya sudah dipotong oleh Tok Yeh. Tak lama lepas tu abang  berdiri, memakai kain sarung dan berjalan ngangkang. Aku tak nampak anunya. Yang aku nampak ialah 'kulit  kepala' anunya yang sudah dipotong dan disarungkan ke hujung sepotong kayu sebesar ibu kaki yang panjangnya kira2 sehasta. Dengan itu selesailah  sudah upacara memotong anu yang kita kenali sebagai berkhitan, bersunat  atau berjawi mengikut istilah orang kampung aku. Berapa upah yang aruah ayah bayar kepada Tok Yeh, aku tak taulah. Mungkin 5  rial kot.
Aku terpikir juga bagaimana agaknya bila tiba masa untuk aku pula yang kena duduk di atas batang pisang untuk melalui proses yang sama seperti yang abang sulung aku  lalui itu. Tentu menggerunkan bila tok mudimnya Tok Yeh.
Sebenarnya pada waktu itu semua budak2 kampung aku bersunat dengan tok mudim kampung termasuk aku sendiri yang aku alaminya beberapa tahun kemudiannya, tetapi bukan dengan Tok Yeh kerana bila tiba giliran aku untuk bersunat, Tok Yeh  sudah lama meninggal. . Nak kata ada kelebihan bersunat dengan tok mudim kampung tak taulah pula. Tapi yang jelas bersunat cara kampung memang menggerunkan kerana: Pertama,  kena duduk di  atas belahan batang pisang. Anu yang nak dipotong akan dikepit dengan pengepit tembaga dan pengepit ini dicucukkan ke  batang pisang. Jadi budak yang nak dipotong anunya dah tak boleh nak bergerak kerana anunya sudah terlekat di pengepit dan pengepit itu pula terpacak di batang pisang. Kedua, bersunat cara kampung tidak menggunakan ubat bius. Sakitnya memanglah sakit waktu dipotong dan waktu dikoyak kulit kalau kulit terlekat di 'kepala'. Ketiga, mungkin peralatan mudim tidak steril. Ubat yang digunakan adalah ubat air berwarna kuning, tapi mujarab. Apapun, tak adalah pula kes2 luka tak sembuh atau tersalah potong. Cuma tempoh penyembuhan luka adalah lama dan banyak pantang larang dari segi pemakanan dan pergerakan.
Pada waktu itu tidak ada budak2 kampung aku yang   bersunat di hospital atau di klinik seperti sekarang ini. Ada teori mengatakan sesiapa yang bersunat di hospital, nanti ' anu'nya boleh jadi lemah dan tidak tegang kerana kesan bius. Mungkin yang berteori begini tok2 mudim juga kerana takut hilang mata pencarian mereka.
Namun apa teori sekalipun, waktu dulu2 memang tok  mudim kampung merupakan orang yang disegani oleh orang dewasa dan ditakuti oleh budak2. Apa tidaknya nampak saja tok mudim melintas kampung, budak2 yang sedang seronok bermain, akan lari lintang pukang kerana takut anunya dipotong. Nampak basikal tok mudim pun lutut sedah bergetar. Yang lucunya kita budak2 boleh kenal itu basikal tok mudim.
Berbalik kisah Tok Yeh , seingat aku waktu beliau menjadi tok mudim kepada abang sulung aku, beliau sudah berumur. Mungkin abang sulung aku adalah di antara  pelanggan2nya yang akhir. Selepas itu beliau tidak lagi menjadi tok mudim kerana umurnya yang lanjut, tangannya sudah terketar2, takut nanti tersalah potong pula. Beliau meninggal awal tahun 60an.

Tuesday, 10 April 2012

MASA KECIK2 SIRI KETIGABELAS

HARI RAYA TEMPO DULU

Hari raya dah nak datang lagi. Budak-budak kampung  yang sebaya dengan aku buka main seronok lagi. Seingat aku , kita orang budak-budak memang tak reti nak puasa. Tapi kita oranglah yang lebih-lebih bila nak raya. Di rumah kita orang tak ada jam , jam tangan pun aruah ayah tak pernah punya. Jadi penentuan waktu-waktu untuk sembahyang, aruah ayah berpandukan pergerakan matahari saja. Untuk penentuan berbuka puasa, kita orang tunggu bunyi geduk (beduk) dari surau aruah Datuk atau tunggu bunyi meriam dari Kota Bharu. Memang meriam untuk tanda berbuka dan imsak yang dicucuh  di Kota Bharu,  walau jaraknya 3 batu, boleh kedengaran di kampung kita orang. Agaknya Kerajaan memang tahu orang kampung tak ada jam. 
Pergi ke surau aruah datuk untuk tengok orang teraweh seronok juga. Kita orang memang tak teraweh. Tapi bila habis teraweh, kita oranglah yang dulu berebut cendol. Cendol kampung hanya dimakan dengan air gula saja, itu pun dah cukup baik untuk sejukkan tekak lepas teraweh, berselawat dan bertahlil. Aruah ayah berteraweh di suraunya di kampung nenek. Jadi bila lepas berbuka, aruah ayah berbasikal ke sana dan balik tengah malam.
Dua tiag hari dekat nak raya, budak-budak sebaya aku sibuk buat 'bedil' dari lidi basikal. Kita orang lentukkan lidi basikal , seolah-olah jadi macam pistol dua dimensi. Kepala lidi basikal dijadikan tempat isi 'peluru' iaitu serbuk belerang dari kepala batang mancis. Lepas tu sumbat dengan paku kecil dan ketukkan ke atas sebarang benda keras, umpamanya tiang batu, " Peh" . Itulah bunyinya. Ayam pun tak takut.Tapi memang enjoy. Kalau beli di kedai satu bedil ni berhaga 10 sen saja.
Bedil kertas atau mercun memang susah nak dapat, kalau adapun mahal sangat. Masih aku teringat Pak Chik Mud, suami kepada adik bungsu aruah emak, Mak Chik Rokiah, bawa pulang bedil kertas dari Siam. Diberinya sebatang kepada aku, warna merah sebesar jari kelingking. Bukan main sukanya aku, aku simpan dalam almari kitab aruah ayah, nak tunggu cucuh/pasang bila raya nanti. Biar kawan-kawan kagum.  Alih-alih bila raya tiba 5 hari kemudian bedil kertas aku tu tak meletup. Sumbunya saja yang menyala. Sangatlah frust aku. Rupa-rupanya bedil kertas tu dah masuk angin. Budak-budak yang lebih besar biasanya mereka main meriam buluh pakai minyak tanah, atau pakai karbid   Kita orang tak berani main meriam buluh, bahaya jika buluhnya pecah.
{Mak Chik Rokiah meninggal muda iaitu dalam tahun 1963 waktu melahirkan anak kedua. Anaknya juga meninggal beberapa hari kemudian. Anak pertamanya meninggal waktu umur 4 tahun.  Beliau tidak meninggalkan  sebarang keturunan . Semoga Allah swt mencucuri rahmatNya ke atas mereka semua}
Baju raya aku baju Melayu , aku panggil baju gumbang, aruah ayah yang jahit. Kain samping bukan songket, tapi kain yang sama juga dengan baju Melayu tu. Murah.  Kepala kena cukur semua, sebab aruah datuk, Tok Guru Haji Wan Ismail tak suka cucu-cucunya berbojeng.( bergunting rambut). Tapi arahan membotakkan kepala bila  hari raya  tiba tak bertahan lama kerana anak cucu protes kemudiannya. Bila dah boleh berbojeng untuk sambut raya, biasanya aku pergi ke rumah Pak Da Ok ( nama dia Daud Wak Lat) untuk gunting rambut. Pak Da Ok selalu usik aku, dia kata kepala aku 'butut'. Aku tak marah malah suka. Upah gunting cuma 30 sen untuk 2 orang iaitu aku dengan abang nomor dua. Budak-budak lain pergi bergunting dengan tukang gunting Nor Kicap. Dipanggil  Nor Kicap sebab dia renjiskan air ke kepala menggunakan botol oren yang ditebuk penutupnya untuk air keluar, persis macam kita tuangkan kicap ke dalam nasi.
Duit raya? Orang kampung tak adalah sangat yang nak beri duit raya,. Kalau adapun seorang dua yang mampu beri, itu pun 10 sen seorang. Jadi kena minta dengan aruah emaklah, biasanya dapatlah 50 sen untuk belanja raya. Boleh beli coklat(gula-gula) yang 3 biji untuk 5 sen. Boleh juga buat beli mancis untuk peluru bedil lidi basikal aku.
Ada sekali tu aku dengan kawan-kawan beli rokok sigeret cap Signal. Dua batang  harganya 5 sen. Bila hisap  terbatuk-batuk, mata merah dan berair. Pernah sekali  terserempak dengan Wak Teh ( aruah, suami aruah kakak sulung emak), dia lapor kepada aruah ayah. Apalagi  kena marahlah, sumpah dah tak mau merokok sigeret lagi bila sambut raya.
Ada seorang orang kampung, namanya Mok Ti, janda,  dah berumur , bila raya dia suka jamu budak-budak makan mee rebus. Kita orang suka sangatlah. Mee rebus tak ada  dijual kat kampung aku , kalau nak makan, kena pergi ke Kota Bharu.  Jadi bila dapat mee rebus bikinan Mok Ti , huuuh suka betul, sekali setahun pun tak apa.  Dapat pula duit raya 10 sen seorang. Mok Ti ( dah lama aruah) kerjanya berniaga buah di Kota Bharu.
Orang kampung aku, untuk sambut raya cuma buat ketupat pulut delta yang manis yang dibungkus dengan daun palas. Ada juga buat tapai beras  , dibungkus dalam daun pisang atau daun getah. Kita orang tak ada yang buat lemang . Tak pernah. Biskut raya pun tak pernah buat. Bukan budaya orang kampung. Aruah emak biasanya buat ketupat palas saja sehari sebelum hari raya. Sebelum jadi ketupat aku dah makan dulu bila pulut siap diarung yang rasanya lemak dan manis.
Malam raya malam gembira. Aku dengan kawan-kawan bila malam raya  biasanya ramai-ramai tidur di surau aruah Datuk. Pakai selimut dari ambar yang berdebu dan berdaki, tak pernah basuh bertahun-tahun. Walau  berdebu dan busuk, kita orang selamba saja buat selimut. Satu ambar boleh masuk 5,  6 orang budak. Ambar ini semacam karpet yang tidak begitu tebal yang digunakan sebagai alas sembahyang. Aku cuma sempat sekali dua sahaja tidur di surau pada malam raya kerana aruah ayah tidak begitu mengizinkan.
Pernah pada satu malam raya lepas sembahyang isya' , Pak Ri, iaitu adik lelaki aruah emak berlainan ibu, tunjuk kepada budak-budak macam mana nak tengok anak bulan Syawwal. Dia masukkan air  telaga ke dalam baldi dan suruh budak-budak tengok ke dalam baldi  tersebut untuk melihat refleksi cahaya kelibat anak bulan. Tak ada yang nampak pun . Gelap saja.  Walaupun tak namapk, kita orang beraya juga besoknya. Bukan begitu cara untuk menentukan nampak atau tidak anak bulan. Aku tergelak sakan bila mengenangkan kisah dipermainkan oleh Pak Ri ini.
Kita orang hanya sambut raya puasa sehari sahaja. Raya kedua dah tak diraikan lagi. Kebanyakan orang dewasa dah mula berpuasa enam pada raya kedua, begitu juga dengan kedua-deua orang tua aku. Jadi yang seronok tu adalah pada beberapa hari sebelum hari raya.

Monday, 9 April 2012

MASA KECIK2 SIRI KEDUABELAS

PAK NIK CHE SOH

Dalam siri keduabelas ini aku nak ceritakan sedikit pasal kisah hidup jiran aku, setakat yang aku masih ingat, yang rumahnya kira-kira 150 meter di belakang rumah kita orang. Memang stail rumah kampung zaman dulu, jaraknya jauh-jauh dan binaannya sebuah-sebuah, bukan macam rumah orang sekarang: dekat-dekat. Apalagi rumah teres yang melekat antara satu sama lain, kalau jiran sebelah kentut pun boleh dengar. Asal tak terbau  tak kisahlah.
Kisah jiran aku yang satu ini banyak  kisah-kisah  yang negatif. Namun bukan tujuan aku untuk  menceritakan keburukan dia, tapi lebih kepada bertujuan untuk memberikan iktibar untuk anak-anak aku yang membaca kisah ini supaya tingkah laku seperti dalam kisah ini tidak menjadi amalan mereka.
Aku panggil jiran aku ini Pak Nik Che Soh. Mungkin nama dia Nik Soh atau Nik Jusoh atau Jusoh sahaja. Isterinya aku panggil Mak Nik. Asal usul Pak Nik Che Soh banyak yang orang kampung aku tidak tau, tapi Mak Nik memang orang asal kampung aku. Apa istimewanya Pak Nik Che Soh ini sampai aku jadikan isi kandungan salah satu siri dalam blog aku ini?
Ha, Pak Nik Che Soh ini orangnya sangat kaya, kaya dengan pemilikan tanah yang berekar-ekar, baik tanah padi, tanah kebun dan sebagainya. Sehingga dikabarkan dia juga punya tanah sawah di Padang Mokrat, dalam jajahan Tumpat, nun jauh berbatu-batu dari kampung aku, hampir-hampir dengan sempadan Siam. Di kampung aku saja, dia punya kebun getah berhampiran rumahnya dan sawah padi yang berkeping-keping. Salah satu tanah kebunnya yang berekar-ekar betul-betul terletak di tepi jalan besar . Road frontage katakan. Sewaktu aku berkesempatan pulang ke kampung pertengahan Mac 2012 lalu, aku sempat melalui tanah yang yang di tepi jalan ini, sudah jadi kawasan komersial yang sangat strategik kerana tidak jauh dari Pejabat JPJ Kelantan dan Pejabat Belia Kelantan.
Walaupun Pak Nik Che Soh punya banyak sawah padi, dia tidak menanam sendiri padi. Dia sewakan tanah padinya kepada orang lain. Aku masih ingat sepanjang tahun baloh padinya ( padi silo) sentiasa penuh dengan padi. Begitu juga dengan kebun getah, dia pajakkan kepada orang lain untuk menorehnya. Dia tinggal ambil wang sewaan atau pajakan saja.
Tetapi sayang , walaupun sangat kaya Pak Nik Che Soh sangat berkira dengan hartanya, bahkan boleh dikatakan dia sangat kelorek atau kedekut. Dia juga tidak suka berbelanja dengan wangnya yang banyak itu, kalau berbelanja pun hanya yang sangat-sangat perlu saja. Jadi dia simpan saja wang dia itu. Walaupun buta huruf,  Pak Nik Che Soh simpan duit dia di bank di bandar Kota Bharu, bank apa aku tak tau, masa itu bank yang aku ingat adalah bank Mercantile( bank ini orang Kelantan panggil Bank Kerapu), bank Chung Kiaw dan Chartered Bank.
Pak Nik Che Soh jarang pakai baju, dia hanya pakai kain sarung yang dibuat dari kain tepung gandum yang harganya sangat murah: 50 sen satu. Dia hanya pakai baju dan kain pelikat murah kalau ke bandar Kota Bharu. Kasut jauh sekali, dia rela berkaki ayam kerana tak payah keluar duit untuk beli kasut.
Satu hari aku naik tergelak bila Pak Nik Che Soh nak beli ikan hanya sebanyak 5 sen saja dari penjual ikan berbasikal yang aku panggil Pak Man . Memang waktu itu ikan sangat murah. Ikan dijual pakai bilang berapa ekor, tak pakai timbang. Biasanya kalau 10 sen kadang-kadang boleh dapat  sepuluh ekor ikan tamban atau ikan selayang,. Ikan kembung 20 sen untuk 10 ekor. Murah kan? Kalau ikan 10 sen 10 ekor kita orang kata harganya 'nunggal' iaitu 1 sen 1 ekor. Jadi bila Pak Nik Che Soh nak beli ikan cuma 5 sen, Pak man kata: "Amik sajalah Pak Nik, 5 sen pun nak beli." Tersengih-sengih Pak Nik Che Soh dapat ikan free 3 ekor dan selamat duit 5 sen dia. Macammana tak kaya?
Ini pula kisah Mak Nik  yang tak kurang colorfulnya dari segi berkira pasal duit dan sayang dengan duit. Mak Nik kadang-kadang dia jadi peraih, jual sayur-sayur orang kampung di bandar kota Bharu. Walaupun Pak Nik Che Soh dah banyak duit, Mak Nik tetap juga berperaih biar pun dah agak berumur dan tak cekak. Satu ketika  aku belajar-belajar tanam lada hijau muda yang orang Kelantan guna untuk buat solok lada. Aruah ayah yang ajar aku tanam satu batas saja  bersebelahan dengan batas-batas ubi badak dan ubi itik   aruah ayah.  Aruah ayah  tanam juga daun ranting suri ( daun sop) dalam tempurung kelapa yang disii dengan tahi kambing terlebih dulu. Ingat tak dalam siri terdahulu pernah aku ceritakan yang  aruah ayah mengusahakan juga kelapa kering, jadi banyak terkumpul tempurung-tempurung kelapa. Tahi kambing pula dihasilkan oleh kambing-kambing dan biri-biri yang aruah ayah pelihara di bawah baloh padi.  Rupa-rupanya berguna pula untuk tanam daun ranting suri. Kadang-kadang aruah ayah suruh Mak Nik  jual hasil-hasil tanaman di bandar Kota Bharu dengan komisyen 20%.
Berbalik pasal tanaman lada aku itu, satu ketika  bila dah dipetik hasilnya, aruah ayah minta Mak Nik jual seperti biasa di market Kota Bharu. Aku seronoklah, lepas ini dapatlah hasil jualan tolak komisyen sekurang-kurangnya dapatlah satu dua rial. Tapi bila Mak Nik balik dari berperaih, dia  serah duit kepada ayah cuma 20 sen saja untuk sebesen lada aku. Tak patut betul Mak Nik, takkanlah sebesen lada aku cuma dapat 20 sen. Kesiannya aku.
Satu hari aku tanya aruah mak, "Mak, betul ke Pak Nik Che Soh tu makan bewok (biawak) pasir?"
Mak marah," Hish, sapa kata, sapa pulak makan bewok pasir. Tu kan binatang haram dimakan. Orang tak makan bewok. Tak baik cakap macam tu." Mak tak kata yes or no sama ada Pak Nik Che Soh betul-betul makan atau tidak bewok pasir. Rupa-rupanya baru aku tahu yang aku silap dengar, bukan bewok pasir tapi ' perak berhasil'. Tapi aku tak faham apa pula perak berhasil? Rupanya kemudian baru aku tahu perak berhasil tu istilah orang kampung aku untuk ' riba' atau duit bunga. Patutlah Pak Nik Che Soh banyak duit; rupanya duit dia beranak. Tapi aku tak tahu siapa-siapa saja pelanggannya.
Heran juga aku, Pak Nik Che Soh ni kadang-kadang ada juga mengajar membaca al Quran kepada beberapa orang budak-budak khasnya anak buah Mak Nik. Tapi majoriti budak-budak kampung datang ke rumah aku untuk mengaji Al Quran dengan aruah ayah dan aruah emak. Aku juga perasan yang Pak Nik Che Soh tak pernah ke mesjid untuk sembahayang Jumaat. Agaknya dia tak larat nak berjalan, mesjid jauh, tapi kalau ke Kota Bharu  dia sanggup berjalan kaki.
Pak Nik Che Soh memang berkira dan kedekut. Hinggakan buah setar yang masam pun dia tak kasi kita orang budak-budak kampung ambil. Bukan ada harga pun buah setar tu. Buahnya yang masak menguning  pun masam mencuka. Waktu tu satu besen besar buah setar harganya cuma 20 sen, tapi Pak Nik Che Soh tetap tak kasi kita orang ambil, biar buruk di pokok katanya. Satu perkara lagi, aku heran di tanah Pak Nik Che Soh banyak tumbuh pokok-pokok buah yang tak ada di tanah orang lain. Umpamanya buah gucil, buah kekut, buah saga dan terajan, semuanya ni tumbuh di tanah dia. Bila aku dan kawan-kawan teringin nak makan, kita orang ambil secara curi-curi. Buah-buah jenis ni bukannya ada harga sangat, jual pun tak laku, tapi kita budak-budak memang suka memakannya. Sekarang ni dah tak jumpa dah buah-buah ini, dah pupus agaknya.
Pak Nik Che Soh dan Mak Nik walaupun kaya tapi mereka tidak punya keturunan. Mandul. Mereka ada bela anak angkat , namanya Che Wil, katanya anak saudara Pak Nik . Che Wil ni aku masih ingat dia mengidap sakit mental, tapi sempat juga bernikah dengan janda sekampung , namanya Bidoh Leho. Mungkin Bidah Leho ingat Che Wil akan mewarisi harta-harta Pak Nik Che Soh yang bertimbun tu. Tapi perkahwinan mereka tak kekal. Bidoh Leho kempunan tak sempat nak jadi kaya.
Mak Nik meninggal lebih dahulu dari Pak Nik. Aku masih ingat aruah ayah dijemput untuk bacaan tahlil aruah Mak Nik. Pada malam ke empat puluh, aruah ayah juga dijemput tahlil. Aruah ayah bawa pulang pulut tahlil dengan inti kelapa  yang sangat manis disertai dengan putu warna merah jambu. , amalan biasa orang kampung aku waktu itu bila tahlil malam ke empat puluh. Pinggan yang digunakan untuk mengisi pulut tu biasanya pinggan baru dan diberikan terus kepada yang hadir tahlil. Tapi yang aku ingat pinggan yang aruah ayah bawa balik tu pinggan dah retak seribu, ertinya sudah lama dipakai, bukan baru.  Agaknya Pak Nik Che Soh rasa rugi yang amat sangat kalau beri pinggan baru.
Seperti aku ceritakan di atas, Pak Nik Che Soh ni buta huruf. Tapi lepas Malaya Merdeka  dialah orang pertama yang mohon bantuan tanam semula getah dari Kerajaan. Jadi kebun getah tua dia yang betul-betul di sebelah kiri rumah aku dia upah orang tebanglah. Kami budak-budak seronok dapat main' berhinggut' di atas batang-batang getah yang dah ditebang. Bila malam Pak Nik pasang lampu pam untuk memudahkan orang-orang dia gergaji batang-batang getah untuk dibuat kayu pasung. Duit lagi, sebab kayu pasung laku dijual untuk kayu api. Lama jugalah proses menebang pokok-pokok getah tua Pak Nik sehingga sempat juga budak-budak kampung berkumpul bila malam (sebab terang dek lampu pam Pak Nik) dan berdikir barat. Ketua dikir namanya Mamat Butir, memang sedap dia berdikir. Ada lagu dikir yang aku masih ingat senikatanya: jeruk maman kangkunglah berduri........  . Sambungannya westulali aku.
Di sempadan tanah kebun getah Pak Nik dengan  tanah kita orang ada sebatang pohon jambu gagak. Sebesar perut aku waktu itu. Jambu gagak ni aruah emak kata masuk dalam tanah Pak Nik. Jadi aku tengok sajalah, nak ambil buahnya tak boleh, nanti kena kejar dek Pak Nik Che Soh. Jambu gagak pohonnya istimewa berbanding pohon-pohon lain sebab pucuknya  boleh dimakan, rasanya masam-masam, begitu juga bunganya, kita orang suka makan walaupun masam macam pucuknya. Bila bunganya gugur di atas tanah, bumi jadi cantik dihampari dengan  bunga-bunga  yang berwarna merah keunguan.( sebenarnya yang gugur bukan bunganya tapi filamen bunga yang berbentuk seperti jarum bila bunga sudah difertilisekan-ini maklumat bila aku dah belajar botani lima belas tahun kemudian). Tak tau kemudiannya bila pejabat Tanah Kota Bharu buat pengukuran akhir, nyatanya pohon jambu gagak tersebut masuk dalam tanah kita orang.  Jadi selama ini aku curi-curi ambil buah jambu milik rupanya sendiri. Pak Nik Pak Nik, boleh dia mengaku jambu tu dia punya.
Kebun getah Pak Nik Che Soh siap ditanam semula. Pagawai Tanam Semula dari Kota Bharu datang  serah sekeping papan tanda aluminium untuk Pak Nik pacakkan di kebun getahnya sebagai tanad kebun di bawah program tanam semula. Bagaimana Pak Nik pacakkan? Dia pacak terbalik, waktu tu aku tak tau terbalik sebab belum pandai membaca lagi, tapi pegawai tanam semula yang datang buat susulan kemudiannya  tolong betulkan posisinya. Itulah Pak Nik yang buta huruf tapi ligat cari duit.
Aku tak tau bila Pak Nik meninggal dunia .Mulai tahun 1963 aku tidak lagi tinggal di kampung kerana ikut Kak Nik tinggal di rumah sewanya di Kota Bharu. Tapi yang aku dengar kabar beberapa tahun kemudian, semua harta Pak Nik Che Soh difaraidkan dan jatuh kepada anak-anak saudara dia yang kita orang pun tidak kenal. Kabarnya telah dijual semua oleh penerima faraid termasuk tanah di tepi jalan yang sangat berharga itu seperti aku kisahkan di atas.
Kisah ini bukan untuk memburukkan orang yang dah mati, tapi sebagai pengajaran kepada aku dan anak-anak aku supaya berhati-hati: jangan jadikan harta menguasai kita, kitalah yang menguasai harta. Jangan sampai harta menindih kita dalam kubur nanti. Semoga Allah mengampuni aku dan semua mereka yang aku sebutkan nama dalam kisah ini.
 

Wednesday, 4 April 2012

MASA KECIK2 SIRI KESEBELAS

Bila dah sambung balik menulis blog ni, rasa seronok pula. Tapi anak sulung aku yang di Kuantan tu asyik perli saja: katanya abah hangat-hangat tahi ayam, dulu janji nak tulis satu siri setiap- minggu. Rupa-rupanya bila berhenti menulis, setahun kemudian baru teringin nak sambung. Hampeh.
Kali ini aku nak ceritakan pasal musim buah-buahan yang kita orang sebut 'perian buah kayu'. Almarhum ayah ada sekeping tanah, agaknya kira-kira satu ekar, yang terletak di kampung sebelah yang dipanggil Kampung Langgar. Jaraknya kira-kira setengah jam berjalan kaki dari rumah kita orang. Untuk ke sana, kita orang berjalan kaki melalui tepi-tepi rumah orang kampung yang kedudukannya sebuah-sebuah, jalan setapak yang penuh dengan semak samun dan kadang-kadang melalui tepi-tepi sawah.
Di tanah tersebut aruah ayah ada menanam beberapa pohon  rambutan, langsat dan sebatang pohon rambai . Rambutan yang aruah ayah tanam adalah dari jenis kawin yang buahnya  longkah dan manis. Namanya rambutan Che Mbong. Ada juga rambutan yang namanya rambutan  Perak yang tidak semanis Che Mbong. Langsat pula aku tak tahu apa jenisnya, tapi yang aku ingat buahnya agak besar juga dan rasanya manis. Almarhum ayah tidak tanam duku. katanya buah duku jenis kampung banyak yang pahit dan buahnya kecik-kecik. Aruah ayah juga tidak tanam rambutan rakyat iaitu rambutan yang berasal dari biji yang biasanya masam dan tidak longkah. Jadi kesemua rambutan yang aruah ayah tanam adalah dari jenis yang dikawinkan bagi mempastikan buahnya manis dan longkah.
Oleh kerana pokok-pokok buah-buahan  tersebut tidak begitu tinggi , aku mampu memanjatnya sambil memetik mana-mana buah yang dapat dicapai oleh tangan . Biasanya aruah ayah menggunakan galah buluh untuk mengait- buah-buah rambutan yang sudah masak. Kalau langsat, biasanya diambil dengan memanjat tanpa menggunakan galah.
Rambutan yang sudah dikait, direlaikan dari tangkainya. Aruah emak akan membilangnya terlebih dahulu  sebelum dimasukkan ke dalam bakul buluh. Aruah emak menggunakan caranya yang tersendiri waktu  membilang buah-buah rambutan. Mula-mula aruah emak bilang  '' lima, sepuluh, lima belas dua puluh, tengah tiga tiga puluh, tengah empat empat puluh, tengah lima lima puluh  dan begitulah seterusnya hingga penuh bakul. Penuh bakul diisikan pula kedalam guni gandum.
Untuk dibawa pulang ke rumah, aruah emak junjung bakul yang penuh degan rambutan dan aruah ayah pikul rambutan yang ada dalam guni gandum. Aku? Aku melenggang saja sambil makan mana-mana buah yang tak dapat masuk ke dalam bakul maupun guni gandum.
Biasanya buah-buah tersebut dijual kepada peraih kampung atau kadang-kadang kakak ynag sulung bawa terus ke Bandar Kota Bharu untuk dijual. Waktu itu harga sebakul rambutan hanya dua tiga rial sahaja. Kadang-kadang kesian kepada kedua-dua orang tua aku. Penat-penat kait dan pikul atau junjung, dapatnya tak seberapa, hanya empat lima rial saja.Namun apapun kita orang bersyukur dengan rezeki yang Allah swt berikan. Hasil dari titik peluh sendiri dan halal.
Aku masih ingat bila rambutan sedang menguning, aruah ayah meminta pertolongan  orang kampung Langgar, namanya Pok Hing, untuk memasang lampu minyak tanah yang tahan angin di dahan-dahan rambutan bagi menghalau keluang yang datang untuk memakan buah-buah yang sedang nak masak. Agaknya keluang takut bila ada cahaya dari lampu minyak tanah yang dipasang Pok Hing. Setakat mana berkesannya, taklah aku ingat sangat. Yang pasti , masih ada kulit-kulit rambutan yang berserakan sebagai tanda masih ada keluang yang berani datang makan walaupun ada cahaya lampu.
Pada masa ini tanah yang ada buah-buahan ini dipusakai oleh kakak kedua yang aku panggil kak Nik.
Aruah ayah juga ada menanam beberapa batang durian di sekitar rumah aruah nenek yang terletak kira-kita satu batu dari rumah kita orang. Durian nya elok-elok semua. Ada yang aruah ayah namakan Durian Mata Dua, Durian Isi Molek  dan Durian Man. Seingat aku buah-buah durian tersebut adalah untuk dimakan keluarga sendiri  sebahagian kecil saja  yang dijual kerana harganya sangat murah. Boleh dikatakan semua orang ada pokok durian. Jadi banyak dari buah-buah durian tersebut disedekahkan kepada sanak saudara dan kaum kerabat.  Kadang-kadang bila berlebihan aruah nenek buat lempuk yang boleh disimpan lama. Waktu itu harga sebiji durian hanya 30 sen saja sebiji.
Sayang, semua pohon-pohon durian yang aku ceritakan di atas sudah tiada, kerana kira-kita empat puluh lima tahun dahulu telah ditebang semuanya untuk tapak rumah kita orang apabila keluarga kita orang berpindah ke situ selepas kematian nenek.

Saturday, 24 March 2012

Gobek Tembaga: MASA KECIK2 SIRI SEPULUH

Gobek Tembaga: MASA KECIK2 SIRI SEPULUH:

MALAYA MERDEKA

Aku ingat tak ingat momen-momen yang menarik apabila negara tercinta Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya akan diberikan kemerdekaan oleh penjajah British. Yang aku ingat  jalan kampung yang menghubungkan kampung ku dengan Kota Bharu mulai sibuk dengan  orang-orang kampung yang menunggu lori yang ada hidung datang mencurahkan pasir sungai untuk 'improve' kondisi jalan supaya tidak lecah bila hujan. Aku dan kawan-kawan sekampung memang seronok sakan, seronok dapat tengok lori masuk kampung, seronok dengan bunyi injin lori, seronok tengok asap keluar ikut belakang dia . Kalau tak silap, itulah lori pertama yang aku lihat seumur hidup, memang teruja sakan. Kalau sebelum ini lihat sekali sekala kereta melintas kampung. Itu pun sebiji sebulan. Rasanya aku masih ingat itu kereta milik Mat Min Bedil yang rumahnya di seberang sungai Pauh, dekat-dekat rumah Tok Guru Menteri Besar sekarang. Dipanggil Mat Min Bedil sebab dia ada senapang patah untuk bedil tupai terutama di  musim durian.
Yang buatkan orang kampung seronok sangat ialah bila  pasir dicurahkan ke atas jalan, dalam pasir tersebut terdapat banyak 'etak' yang masih fresh . Apalagi berebut-rebut kita orang menguis-nguis pasir cari etak. Dapatlah seorang secetung. Bolehlah direbus atau salai.Macam tak ada makanan lain. Aku rasa pasir  yang dicurah untuk elokkan jalan itu memang diangkut terus dari sungai Kelantan di Kota Bharu. Sebab itulah banyak etak dan masih fresh lagi. Rezeki orang kampung yang rata-rata suka dapat etak free. Padahal kalau beli pun bukan mahal sangat, waktu itu segantang etak mentah baru 50 sen.Teramat murah.
Berbalik cerita sambut kemerdekaan , budak-budak sebaya aku pada waktu itu tidak faham pun apa itu m e r d e k a  . Yang kita faham adalah bermain dan seronok-seronok. Tapi kita orang diajar juga supaya sebut' merdeka' terutama kepada sebarang kenderaan atau siapa-siapa saja yang lalu melintas melalui jalan kampung kami yang baru dipasirkan ( bukan ditarkan). Pada waktu itu apa yang dimaksudkan dengan kenderaan adalah basikal atau beca roda tiga yang disebut 'teksi'. Bila ada saja basikal atau teksi yang lalu, kita orang pun sebut: ''Merdeka Tanah Melayu, Tepung Boko(bingka?) Ubi Kayu'' sambil tergelak-gelak. Tapi kalau yang melintas itu kereta, macam kereta Mat Min Bedil, bukan main seronok lagi. Laungan Merdeka Tanah Melayu .... macam nak pecah kampung. Sebetulnya macam nak pecah kerongkong.
Aku masih ingat lagi, dalam rangka rakyat Malaya sambut merdeka, khususnya di Kelantan, pada suatu hari aruah ayah hantar aku ke tempat kakak yang aku panggil Kak Nik yang menyewa sebuah pondok bersama rakan-rakan  Sekolah Naim Lil Banat  di Jalan Kelochor, Kota Bharu. Bukan main seronok lagi aku dapat tinggal dengan Kak Nik dua tiga hari untuk lihat perayaan sambut kemerdekaan di pekan, bukan di kampung. Antara acara sambutan kemerdekaan yang aku masih ingat adalah perarakan kereta berhias pada waktu malam. Memang excited, maklumlah budak kampung yang tengok kereta sebulan sekali tiba-tiba dapat tengok banyak kereta yang dihias cantik dengan lampu lip lap berwarna warni. Tapi bayangkanlah model-model kereta pada masa itu, semuanya mestilah British Made. Aku tak tau apa jenis sebab belum tahu membaca lagi. Tapi yang jelas bentuk keretanya macam bentuk teksi hitam yang banyak  berkeliaran di Kota London sekarang. Apa Morris, Hillman, Ford, Austin ?  Entahlah.
 Ramai kawan-kawan sepondok Kak Nik , semuanya perempuan, yang suka usik aku yang waktu itu budak baru berumur 5 tahun. Ada seorang kawan Kak Nik yang selalu usik dan dokong aku, nama dia Ana sebab bila dia bercakap dia bahasakan diri dia Ana. Kemudian baru aku tahu nama dia bukan Ana, tetapi Jawahir. Ana tu 'saya' dalam bahasa Arab, maklumlah mereka semua pelajar sekolah Arab Naim lil Banat.
Kak Nik ada belikan aku belon' naik' yang ada dijual oleh penjual India.  Bukan main sukanya aku, hairan pun ada, macammana belon ini boleh naik ke atas. Belon yang pernah aku beli di kedai Mok Su Yoh di kampung aku tak  naik pun. Keesokan harinya belon yang boleh naik tu dah tak boleh naik dan ukurannya pun makin kecil. Aku menangis sakan, kecewa kerana belon kesayangan aku itu  dah tak boleh naik ke atas.  Aku masih ingat lagi, aku mengamuk, menangis  dan marah-marah kepada Kak Nik dan Ana. Kalau tak silap aku, Kak Nik dah tak tahan nak jaga aku lagi, lantas dia cari beca roda tiga dan hantar aku pulang ke kampung. Agaknya ngamuk dan marah-marah aku waktu berumur 5 tahun itu sebiji macam ngamuk dan marahnya cucu aku yang di Kuantan itu, Wan Muhammad Aiman Wan Azdi bila ada yang tak kena dengan kehendaknya.



 
...